Senarai Nahas Udara Yang Melibatkan VVIP Di Malaysia

Malaysia telah digemparkan dengan berita nahas helikopter di Semenyih pada 4 April 2015 yang mengorbankan enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alia.



Sebenarnya, kemalangan udara ini bukan nahas pertama yang melibatkan orang kenamaan di Malaysia malah ia sudah berlaku sejak 1976.

Berikut  memetik laporan dari portal Myalaunchpad, di bawah adalah senarai nahas penerbangan udara melibatkan orang kenamaan sejak 1976.

6 Jun 1976

Kemalangan udara yang berlaku pada jam 3.50 petang ini mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan 10 VVIP yang lain termasuk menteri kabinet apabila pesawat buatan Australia milik Sabah Air itu, terhempas kira kira 2 kilometer dari landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

10 Jan 1982

Menteri Luar Negeri, Tun Mohd Ghazali Shafie, 50, terselamat dari nahas pesawat apabila pesawat Cessna 206 yang dinaikinya terhempas di gunung Kampung Som Som Hilir berhampiran Kampong Janda Baik, 37.5km dari Kuala Lumpur.

Pesawat itu dikatakan dalam perjalanan dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya.

8 Mac 1987

Helikopter Alouette yang dinaiki Datuk Seri Najib Tun Razak, empat anak kapal dan penumpang dari Pekan ke Kuala Lumpur dilaporkan nahas di 49km Lebuhraya Karak-KL pada 8 Mac 1987.

Bagaimanapun, mereka semua selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

5 Mei 2013

Helikopter yang dinaiki oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama keluarga dilaporkan mengalami masalah kawalan akibat angin kencang di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi.

Akibatnya, pesawat yang dinaiki mereka terbalik kerana tiupan angin yang kencang.

Walau bagaimanapun, mereka sekeluarga selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

4 April 2015

Helikopter jenis AS365N2 Dauphin yang dinaiki oleh Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, 63, dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alia terhempas di Kampung Sungai pening, Semenyih, Selangor.

Kejadian yang berlaku pada 4.55 petang ini, mengorbankan enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alia.

Mereka dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Subang selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.

Artikel Terkait