Anak Nyaris Maut Kerana Emaknya Enggan Pecah Cermin Kereta BMW



China – Seorang wanita di China enggan memecahkan cermin kereta BMW miliknya untuk menyelamatkan anak lelakinya dari kepanasan hanya kerana dia tidak mahu merosakkan kereta mewah terbabit.

Orang ramai mula mengelilingi kereta tersebut setelah mendengar tangisan kanak-kanak tiga tahun dalam kereta itu di Yiwu, daerah Zhejian yang mana suhunya mencecah lebih kurang 32 darjah celsius.

Dalam kepanasan, kanak-kanak terbabit mencakar cermin kereta itu namun ibunya hanya berdiri di tepi BMW itu tanpa memberi bantuan, lapor CCTV.

Orang ramai dan bomba cuba memujuk wanita berkenaan untuk memecahkan tingkap kereta untuk menyelamatkan anaknya namun dia enggan dan berdegil untuk menunggu tukang kunci sampai untuk membuka pintu terbabit, kata seorang saksi.

Tetapi apabila keadaan kanak-kanak itu semakin teruk, bomba akhirnya tidak mempedulikan kedegilan wanita tersebut dan memecahkan tingkap BMW kesayangannya.

“Tindakan meninggalkan kanak-kanak seorang diri dalam kereta amat berbahaya, lagi-lagi dalam cuaca panas sebegini. Suhu dalam kereta boleh meningkat dalam masa yang singkat dan boleh mengancam kanak-kanak”, kata salah seorang bomba yang terlibat memetik laporan Zhejiang Online.
Kedegilan wanita terbabit mengundang kemarahan pengguna media sosial di China.