Begitu banyak komen pedas terhadap insiden ini. Jelas dapat dibayangkan betapa perasaan kecewa sang isteri pertama. Baru dua tahun kahwin dan sedang mengandung 4 bulan sudah ditinggalkan suami menemui Ilahi. Lebih pedih bila yang dimaklumkan turut maut adalah isteri 'baru' suaminya.
Namun begitu, wajarkan kita yang kononnya sedang berpuasa ini menyumpah seranah semahunya, khasnya terhadap suami dan ibu mertuanya. Ada yang mengeluarkan ayat, "eloklah tu.. mak mertua yang subahat tu pun 'ikut gol' sekali", Astaghfirullah.
Poligami lelaki itu tentunya halal biar apapun alasannya. Mungkin apa yang dikatakan 'pengkhianatan' sang suami itu boleh disabitkan kesalahannya dari segi etika rumahtangga. Itu jugalah yang banyak mendapat komen 'hanyir', khususnya dari kaum wanita.
Adakah ini cara yang baik untuk kita yang tidak tahu apa cerita di sebalik kisah mereka itu? Layakkah kita melemparkan fitnah dan sumpah seranah sebegitu khasnya terhadap orang yang telah 'pergi' ? Apakah dosa besar mereka? Wajarkah kita mengutuk ibu lelaki ini yang turut terkorban?
Jika ini rupanya akhlak seorang isteri/ibu yang mengeluarkan komen 'hanyir' sebegitu, maka bayangkan apakah akhlak anak-anak mereka?
Lihatlah sesuatu itu seperti siapa kita, bukan seperti adanya. Jika setiap kemalangan kita letakkan sebagai kifarah dosa, maka berapa banyakkah lagi kemalangan yang berlaku saban hari telah melibatkan insan yang tidak berdosa?
Hari ini, seorang isteri lebih mudah memaafkan suaminya yang berselingkuh, bermain kayu tiga dan berzina secara haram kerana itu tidak menjejaskan perkongsian dengannya secara kekal. Malah ada isteri yang membiarkan sahaja suami kedua meniduri anak tirinya. Yang penting jangan sampai bernikah lagi dan dia dimadukan. Adakah pendirian ini bersandarkan basmalah? atau nafsu? Fikir-fikirkanlah...
"Innalillahi wainna ilaihirojiun".
Alfatihah buat mereka yang telah pergi.
Renungan pada kisah 1 Ramadhan
Ikuti berita penuh akhbar dibawah :
Sinar Harian : 18 Jun 2015
KOTA TINGGI - Seorang isteri terkejut apabila mendapati wanita yang maut dalam kemalangan yang turut meragut nyawa suami dan ibu mertuanya semalam adalah isteri kedua suaminya, dipercayai baru bernikah beberapa hari lalu.
Abdullah Suhaime Abd Rahman, 30, yang bekerja sebagai pembantu juru X-Ray di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan Rohayu Abas, 29, serta ibu Abdullah Suhaime, Rokiah Abu Bakar, 52, maut di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42.2 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran stesen minyak di Batu 1 Jalan Mawai kira-kira jam 5 pagi.
Kemalangan berlaku apabila kereta Ford Fiesta dipandu Rohayu yang merupakan jururawat di HSA, bertembung dengan sebuah lori pasir.
Pemandu lori cedera di mata dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Isteri pertama mangsa, Farah Fadila Faizal, 27, berkata, dia mendapat tahu kejadian menimpa suaminya daripada rakan melalui aplikasi WhatsApps sebelum dimaklumkan anggota polis.
Dia yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan hamil empat bulan, terkejut menerima berita buruk itu.
“Ahad lalu, suami ada beritahu saya dia hendak pergi kursus beberapa hari.
"Saya ada mengirim pesanan ringkas melalui telefon ketika dia sedang berkursus mengadu kaki saya sakit, tapi suami tak balas.
“Saya tak tahu ibu mertua dan wanita itu bersamanya sehingga terima berita tentang kemalangan ini,” katanya.
Sementara itu, adik Abdullah Suhaime, Maizatul, 25, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian tersebut kira-kira jam 7 pagi daripada ibu saudaranya sebelum bergegas ke HKT bersama ayahnya, Abd Rahman Ali, 58.
Katanya, dia mengetahui ibu, abang dan kakak iparnya maut sebaik tiba di balai polis.
“Rohayu merupakan isteri kedua abang dan mereka baru melangsungkan pernikahan di Terengganu. Mereka ke Terengganu tiga hari lalu.
“Saya dan abang hanya dua beradik. Selepas abang tidak tinggal bersama, saya jarang berbual dengannya. Malah akhir-akhir ini, dia (nampak seperti) tidak seceria selalu,” katanya ditemui di unit forensik HKT, semalam.
Jenazah dibawa untuk dikebumikan di kampung neneknya dekat Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, nahas dipercayai berlaku apabila Ford Fiesta dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru, bertembung dengan lori yang datang dari arah Johor Bahru.
“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan lurus, jalan berkembar dua hala serta mempunyai garisan berkembar sebagai pembahagi jalan,” katanya.