Kenali 5 Destinasi Beli Belah Termurah di Malaysia!

Bagi anda yang tidak tahu atau sudah tahu tetapi belum berkesempatan mengunjungi tempat-tempat ini, apa kata lakukan ia hujung minggu ini. Malaysia mempunyai beberapa lokasi membeli-belah termurah dan termenarik. Apabila kami kata menarik jangan sangkakan lampu-lampu dan bangunan pencakar langit. Hiruk pikuk dalam aksi tawar menawar adalah lebih thrill.

1. Bukit Kayu Hitam



Terletak di daerah Kubang Pasu, Kedah ini terdiri daripada beberapa kompleks perniagaan yang moden dan separa moden seperti Kompleks Bebas Cukai Cergas Jaya, The Zon serta gerai-gerai jualan yang lain. Mudah saja untuk sampai kerana akses ke sini dihubungkan melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Jika anda melalui PLUS, anda dapat menyaksikan pemandangan padi yang luas menguning. Di sinilah rahsia suri rumah membeli set pinggan mangkuk, cadar dan keperluan rumah yang lain.

2. Pengkalan Kubor



Ramai yang bertanyakan perbezaan Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang yang terletak di Kelantan ini. Kebanyakan barang-barang yang dijual adalah buatan Thailand dan menjadi pilihan ramai pengunjung ekoran dikenali sebagai Zon Bebas Cukai. Sebenarnya, tidak ada beza antara kedua-dua tempat ini kerana beza harga tidaklah jauh. Memandangkan ia terletak di dalam kawasan yang berpagar, eloklah anda bershopping awal pagi kerana pada jam 5.30 petang pembeli akan diarahkan keluar dari pihak kastam kerana pintu utama akan ditutup.

3. Padang Besar


Bagi anda yang sudah terlajak sehingga ke negeri paling utara Semenanjung Malaysia, jangan terlupa singgah ke Padang Besar, Perlis. Terletak 35 km dari bandar Kangar, selain sinonim dengan jualan barangan seperti yang boleh didapati di lokasi beli-belah sempadan yang lain, ia juga mempunyai peminat di kalangan mereka yang gemar pada snek dan manisan seperti gula-gula, biskut, wafer serta coklat.

4. Kompleks Bebas Cukai Johor Bahru


Di sinilah 'syurga' buat kaki shopping malah menjadi kegemaran warga Singapura dan orang-orang dari Batam, Indonesia. Selain tempatnya yang strategik, ia mudah dicari kerana dekat dengan terminal feri Stulang Laut dan kawasan persisiran pantai Stulang Laut yang cantik. Peminat minyak wangi, coklat dan barangan lain ada dijual dengan murah di sini.

5. Langkawi




Tidak sah rasanya jika sampai ke Langkawi tetapi anda tidak membawa pulang set pinggan mangkuk, kain, coklat dan barangan import yang lain. Terdapat banyak kedai yang menjual barang-barang import tetapi murah antaranya Haji Ismail Group, Idaman Suri dan banyak lagi.

Kami percaya anda pernah ke lokasi barangan murah dan bebas cukai di tempat lain seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Tidak perlu berbelanja lebih dengan produk yang sama dari negara luar sedangkan anda boleh dapat yang lebih murah. Cuma anda perlu bijak membawa jumlah barangan supaya tidak terlalu berlebihan dari tempat-tempat bebas cukai seperti ini. Jika terlebih, pandai-pandailah berdepan dengan pihak Kastam!

Kredit : Libur