Video Insiden Pertengkaran Kakitangan Malaysia Airlines (MAS) Bertekak Dengan Penumpang



KUALA LUMPUR - Klip video yang menunjukkan insiden pertengkaran membabitkan kakitangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) tersebar di laman sosial beberapa hari lalu mengundang cemuhan dalam kalangan pengguna media sosial.

Video berdurasi 1 minit 15 saat yang di muat naik di laman sosial Facebook DailyExpress menyaksikan seorang kakitangan syarikat penerbangan tersebut dilihat bertindak kurang sopan dengan mengherdik sekumpulan pelanggan yang dipercayai sedang mendapatkan maklumat mengenai jadual penerbangan.

Lihat video penuh disini

Menerusi video tersebut juga, lelaki berkaca mata itu dengan nada tinggi mengarahkan pelanggan terbabit dipercayai warga asing supaya bersabar sebelum dia bertindak meninggalkan kaunter.

Sementara itu, kelihatan seorang lagi kakitangan MAS cuba mengawal keadaan dengan meminta supaya penumpang tersebut menunggu pengurus mereka datang untuk menyelesaikan masalah.

Sehingga kini, video tersebut ditonton oleh lebih 37,918 pengguna Facebook.

Susulan itu, MAS dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Twitternya semalam menyatakan pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan dalaman akan dijalankan dan kami memandang serius etika kakitangan, namun tidak akan membiarkan pekerja dikasari pelanggan,” kata MAS dalam kenyataan tersebut.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, MAS menyatakan insiden terbabit berlaku pada 1 Mei lalu membabitkan 30 penumpang penerbangan dari Singapura ke Hyderabad dan Bangalore.

Jelas kenyataan itu lagi, semua penumpang terbabit sedang transit di KLIA sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

“Penerbangan asal mereka iaitu MH616 terpaksa ditukar kepada MH610 kerana pesawat berkenaan perlu menjalani pemeriksaan teknikal,” katanya.

Bagaimanapun, MAS menyatakan insiden itu telah diselesaikan pengurus yang bertugas apabila semua penumpang berkenaan bersetuju untuk menaiki penerbangan ke destinasi masing-masing pada hari berikutnya, lapor Malaysian Digest.