AWAS! Umat Islam Diminta Berhati - Hati Dengan Telekung Menyerupai Bentuk SALIB



Penemuan terbaru yang menjadi viral kini adalah telekung yang mempunyai corak renda yang dijahit menyerupai bentuk salib. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam perkara ini demi menjaga kesucian agama Islam.

Sambil menyatakan rasa kecewa kerana telekung itu mula dipasarkan di negara ini ketika umat Islam bakal mengerjakan ibadah puasa tidak lama lagi, beliau berkata sejak kebelakangan ini pelbagai taktik digunakan oleh pihak tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam.

“Janganlah kita ghairah membeli kerana tertarik dengan warna dan gaya yang cantik tanpa menyedari corak pada telekung itu tidak mengikut syariah,” katanya.

Beliau juga menasihati peniaga supaya meneliti rekaan telekung yang dijual supaya tidak mengundang kegusaran dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Telekung mempunyai corak sulaman berbentuk salib di bahagian depan dari paras dagu hingga kelim bawah telekung yang dipercayai dihasilkan di negara jiran dan kini telah memasuki pasaran di Malaysia.