5 Tips Berguna Dalam Mengumpul Duit Untuk Membeli Rumah Idaman



Harga rumah yang semakin melonjak naik dengan kos sara hidup yang juga semakin meningkat, membantutkan hasrat ramai dalam kalangan kita untuk memiliki rumah sendiri. Bagi pasangan yang baru memulakan kehidupan berdua sudah pasti menginginkan rumah sendiri yang mampu memberikan lebih privasi dan keselesaan, disamping kehidupan yang lebih terjamin.

Tidak perlulah rumah sebesar banglo mewah, asalkan ianya selesa buat anda dan pasangan, ia sudah memadai. Namun, untuk memiliki rumah sendiri bukanlah hal semudah membeli makanan di kedai. Ia melibatkan sejumlah wang yang besar dan juga komitmen bayaran ansuran yang berpanjangan. Banyak perkara yang perlu diteliti sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah idaman, agar kelak tidak dihimpit dengan masalah kewangan yang boleh memudaratkan sesuatu hubungan.

Ikuti beberapa tip berguna dalam mengumpul duit untuk membeli rumah idaman seperti berikut:

1. Pendapatan Tetap



Sebelum anda bermimpi untuk memiliki rumah sendiri, pastikan anda sudah memiliki pendapatan tetap setiap bulan. Semak aliran keluar masuk kewangan anda. Adakah anda masih mempunyai baki yang mencukupi untuk membuat simpanan? Jika tidak, cari pekerjaan yang lebih stabil dan terjamin dari sudut kewangan terlebih dahulu.

2. Tentukan Matlamat



Tentukan matlamat anda sebelum anda membeli rumah. Sebagai contoh, jika anda merancang ingin membeli rumah pada tahun berikutnya, cuba tetapkan jumlah simpanan yang anda mampu simpan. Tetapkan juga berapa lama anda ingin menyimpan. Tidak salah berjimat, kerana anda juga yang akan merasai keselesaannya di kemudian hari.

3. Buat Senarai Perbelanjaan



Cara paling mudah adalah dengan membuat senarai perbelanjaan. Mungkin sebelum ini anda dan pasangan tidak mengendahkan tip mudah ini, namun selepas ini apa salahnya anda mencuba. Langkah seperti ini sebagai tindakan awal untuk mengenali pola perbelanjaan anda dan pasangan supaya anda lebih bijak dalam berbelanja.

4. Jangan Tangguh Pembayaran Bil

Jangan sesekali menangguhkan pembayaran bil, pastikan segala hutang dan bil dibayar terlebih dahulu sebelum anda merancang untuk berbelanja ke arah sesuatu yang lain.  Tanamkan sikap tidak menanguhkan pembayaran bil agar ia tidak mengganggu kewangan anda dan pasangan pada masa hadapan.

5. Disiplin

Mungkin agak sukar untuk merancang kewangan dan menyimpan di awal perkahwinan. Namun, jika dipraktikkan dengan baik pasti tidak sukar. Elak berbelanja benda yang bukan keperluan. Lakukan penyimpanan secara perlahan-lahan supaya anda berdua lebih tahu menghargai duit, namun janganlah sampai kedekut!

Adakah anda?

Memiliki pinjaman jangka panjang sepeti pinjaman kereta?
Mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk wang pendahuluan? (Kos guaman, duti setem dan sebagainya)
Memahami kos-kos terlibat sepeti kos pembaikan dan penyelenggaraan, cukai tanah, bil utiliti dan sebagainya?
Mempunyai insuran nyawa untuk membiayai pinjaman perumahan dan perbelanjaan keperluan rumah sekiranya berlaku kematian?
JIKA YA!

Anda layak untuk memiliki rumah sendiri.

JIKA TIDAK!

Anda harus berusaha lebih gigih dan pastikan anda benar-benar bersedia untuk memiliki rumah baru kelak.

Sumber: pesonapengantin.karangkraf.com/