TUNANG kepada adik bongsu mangsa nahas Lebuhraya Duke, Nur Amirah Syuhaida, 22, berkata dia sudah bersedia bergelar ibu segera kepada dua beradik yatim piatu, Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4.
Nur Amirah yang bertunang dengan Faizznur Asyraf Husain, 25, pada tahun lalu bakal bernikah pada Oktober ini.
“Saya sudah bersedia menjadi ‘ibu segera’ dua beradik itu. Malah, saya sanggup berhenti kerja untuk menjaga serta memberi perhatian kepada Amira dan Aqila.
“Saya berbesar hati untuk menjaga kedua-dua mereka. Saya sedar ini adalah satu tanggungjawab besar, tetapi insyaAllah saya boleh melakukannya,” katanya ketika ditemui Mynewshub di kediaman ibu Faizznur di Taman Batu Muda, Batu Caves semalam.
Nur Amira yang merupakan pegawai di sebuah syarikat swasta berkata, dia sudah mengenali dua beradik itu sejak lima tahun lalu malah tidak pernah berasa kekok menjaga mereka yang sudah dianggapnya seperti anak sendiri.
Dalam nahas yang berlaku pada jam 1.05 pagi Sabtu lalu, tiga sekeluarga iaitu Fairuz Nizam, isterinya, Nova Safitri Azhari dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan maut apabila Pajero yang dinaiki dirempuh dua kereta Myvi yang dikatakan sedang berlumba di lebuh raya Duke.