Ini Sebab Kenapa Watak Yuhanis Dibenci Dalam Hati Perempuan - Pendapat Anda?



Buat pengikut setia drama tempatan, pastinya anda mengikuti siri Hati Perempuan yang rancak ditayangkan di slot Akasia kini.

Dilakonkan oleh pendatang baru iaitu Mia Ahmad, Syahrul Ridzwan dan Hafreez Adam, ia menjadi bualan hangat peminat.

Biasalah, tampil dengan plot tipikal seperti hero kacak dan heroin cantik serta menonjolkan elemen kehidupan mewah serba fantasi, itu merupakan adunan paling mudah untuk memikat warga Malaysia melekat di kaca televisyen.

Walau bagaimanapun, sebahagian warga Internet turut menghentam jalan cerita yang ditonjolkan dalam drama Hati Perempuan, malah ada yang menyifatkan drama tersebut sebagai tidak logik dan keterlaluan!

Eh…apa sudah jadi? Ramuan untuk drama adaptasi novel itu kurang menjadi ke…?



Menyelusuri komen-komen yang ditinggalkan pengguna di laman sosial, rupa-rupanya ramai tidak berpuas hati dengan karakter heroin yang dipegang oleh Mia Ahmad.

Rata-ratanya menggambarkan watak Yuhanis sebagai menjengkelkan kerana seringkali merajuk dan mahu dipujuk.

Malahan, dek kerana selalu sangat marah terhadap suaminya, Tengku Zaril, maka karakter tersebut pulak macam antagonis kerana dibenci penonton.

Nah, baca sendiri antara komen yang ditinggalkan pengguna di Facebook rasmi Mynewshub.





Bukan itu sahaja, ada individu turut menggelar karakter Yuhanis sebagai tak sedar dek untung dan isteri derhaka! Amboi…emosi betul.

Namun bila difikirkan secara logik, tak usahlah menghentam karakter mahupun si pelakon tersebut, Mia Ahmad yang hanya melunaskan tugasnya sahaja.



Menurut seorang pengguna yang berkongsi pendapatnya, penulis novel, penulis skrip dan pengarah sepatutnya menjadi insan yang diajukan persoalan tentang kewujudan karakter sedemikian yang gagal mempamerkan teladan baik.

Betul juga kan? Sebagai ‘orang kuat’ di sebalik sesebuah drama, mereka sepatutnya bertanggungjawab terhadap jalan cerita dan memberi mesej positif terhadap masyarakat, bukannya mendidik para isteri untuk menjadi derhaka terhadap suami.

Sementara itu, salah seorang peserta program Pencetus Ummah, Rahmat Ikhsan turut berkongsi pendapatnya tentang karakter Yuhanis di ruangan Facebook peribadi.

Tulisnya, “Benar, Saidatina Aishah selalu dipujuk Rasulullah apabila merajuk, tapi merajuk Saidatina Aishah bukan macam Yuhanis, hari-hari merajuk, hari-hari gaduh, hari-hari nak pujuk.

“…Dalam merajuk Saidatina Aishah tidak pula meninggikan suara, pi cari lelaki lain, dan akhirnya semua salah lelaki.

“Kerana itu ada beza hati wanita dengan hati muslimah, hati muslimah merajuknya kerana Ilahi.”

Jujurnya, pandangan yang dikongsikan Rahmat itu benar kerana ciri-ciri yang ditonjolkan watak Yuhanis tidak menggambarkan sifat sebenar yang patut dilakukan seorang isteri terhadap suaminya.

Betullah apa yang dicakap, kalau sesekali merajuk dan bergaduh itu mungkin nampak ‘sweet’, tapi kalau sudah hari-hari, penonton pun naik jelak!

Duhai pengarah drama di Malaysia, rasanya sudah sampai masa anda tukar resepi baru dalam naratif penceritaan ya!

Mungkin ada yang boleh menarik nafas lega kerana episod terakhir drama Hati Perempuan menemui penonton hari ini dan bakal bergantik dengan siri terbaru, Dia Isteri Luar Biasa.